Berita JTM
Perutusan Yg. Bhg. Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Sempena Bulan Ramadhan & Syawal 1431H / 20 PDF Cetak Emel

Assalamualaikum w.b.t. Segala puji-pujian hanya untuk Allah s.w.t. selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarganya serta para sahabat serta salam sejahtera.

Kepada semua warga JTM yang saya kasihi,

Alhamdulillah, untuk ke sekian kalinya kita semua masih berkesempatan berada di bulan Ramadhan Al-Mubarak 1431H. Semoga ibadah puasa kita dalam bulan penuh keberkatan in memberi keinsafan, kesabaran dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Aidil Fitri menjelang tiba dan kita semua akan meraikannya sebagai tanda kesyukuran di atas kejayaan beribadah di bulan Ramadhan. Sesungguhnya, Aidil Fitri amat bererti kepada kita semua kerana ia merupakan wasilah untuk kita mengeratkan lagi silaturahim dengan kunjung mengunjungi antara satu sama lain. Lupakan sengketa lama dan memberi kemaafan adalah amalan mulia yang dituntut oleh agama. Sabda Rasulullah s.a.w. "Hendaklah kamu bersungguh-sungguh pada Aidil Fitri ini melakukan sedekah, melakukan segala bentuk kebaikan dan kebajikan seperti solat, berzakat, bertasbih, bertahlil kerana sesungguhnya hari ini adalah hari yang Allah mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah s.w.t. melihat kamu dengan rahmat."

Selain itu, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada semua warga JTM yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sehingga JTM telah dapat mengekalkan persijilan MS ISO 9001:2000. Adalah diharapkan dengan pengiktirafan kualiti yang telah diperoleh ini, kita akan terus berusaha untuk menjadi organisasi yang lebih cemerlang, berinovasi dan berdaya saing. Justeru, kita perlu lebih bijak mengatur strategi, mengurus kejayaan serta mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapi dengan tegas dan mampan. Pemantapan etika dan integriti di dalam tugas seharian adalah perlu diutamakan.

Tidak dilupakan ucapan tahniah kepada 2 orang pensyarah ILJTM telah berjaya memperolehi pingat Emas di dalam Pertandingan MySkills-ASEAN 2010 manakala di dalam Pertandingan MySkills akhir 2010, pensyarah JTM memperolehi 3 pingat Perak, 3 pingat Gangsa dan 11 Sijil Kecemerlangan. Bagi Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) 2010 seramai 35 pelajar bagi 11 bidang yang telah berjaya ke peringkat akhir pada bulan Oktober 2010 kelak dan harapan saya agar dapat terus mengharumkan nama Jabatan dengan memenangi Tangan Emas Perdana Menteri 2010 buat kali ke-4 berturut-turut (2006, 2007 & 2009). Semoga kejayaan yang diperoleh akan menjadi perangsang kepada semua warga JTM yang lain agar Visi dan Misi Jabatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Saya yakin JTM dapat melangkah ke hadapan dan mencapai cita-cita untuk menjadi organisasi peneraju mengikut acuan sendiri, dalam membangunkan tenaga kerja berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri negara.

Salam Ramadhan dan Aidilfitri turut saya sampaikan kepada 15 orang pensyarah ILJTM yang sedang terlibat dengan program Latihan Teknologi Penerbangan di City of Bristol, United Kingdom. Dalam suasana budaya dan nilai baru yang banyak menghakis amalan tradisi sambutan hari raya kita, saya yakin, pegangan agama sahajalah yang akan menentukan survival dan kejayaan amalan kita. Di samping kita beraya bersama rakan-rakan, janganlah kita lupa kepada mereka yang tidak memperoleh peluang yang sama seperti yang kita miliki. Amalkan dan suburkanlah semangat kerjasama dan usaha gigih secara berpasukan sepanjang berada di sana agar dapat merangsang pencapaian yang lebih baik di samping melatih diri supaya menjadi lebih berintegriti, dan akhirnya membawa negara menuju ke garisan penamat dengan penuh kejayaan dan kemajuan. Diharap semoga segala ilmu yang diperoleh sepanjang berada di sana dapat digenggam sepenuhnya dan dipraktikkan di negara kita apabila pulang kelak.

Disamping menjalani ibadah puasa dan kemeriahan akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, kita perlu memastikan kesihatan terus berada pada tahap yang baik agar dapat terus melaksanakan ibadah dengan sempurna.

Akhirnya saya mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga dan pelajar JTM. Dalam bergembira untuk menyambut hari raya bersama-sama keluarga dan sanak saudara, jangan lupa untuk berhati-hati semasa memandu di jalan raya. Semoga Aidilfitri tahun ini disambut dengan kegembiraan dan kesyukuran kerana kita telah berjaya menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadhan dalam suasana aman damai, selamat dan bebas daripada sebarang malapetaka. Bagi pihak Pengurusan Jabatan Tenaga Manusia, saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf atas segala salah dan silap saya sepanjang menjalankan tugasan harian bersama tuan/puan semua, seterusnya mengakhiri perutusan ini dengan ucapan “SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN”.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahilham

ROMLI BIN HJ. HASSAN

Ketua Pengarah JTM

 

Terakhir dikemaskini ( Selasa, 07 September 2010 )