| SEMINAR PENGAJAR ILJTM TAHUN 2010 |
|
|
|
|
There are no translations available Seminar Pengajar ILJTM Tahun 2010 dilaksanakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pengajar-pengajar ILJTM daripada pelbagai gred dan bidang kemahiran agar lebih bersedia di dalam menghadapi pelaksanaan sistem latihan di ILJTM dan sentiasa berdaya saing dalam menghadapi arus pembangunan negara khususnya dalam penyediaan tenaga manusia yang berdisiplin, kompeten dan berdaya saing tinggi. Melalui seminar ini, pengajar-pengajar ILJTM dapat berkongsi pengetahuan, pengalaman dan idea di mana ia adalah salah satu cara untuk mencari kekuatan dan kelemahan latihan kemahiran yang dilaksanakan di ILJTM bagi melahirkan tenaga mahir negara yang berketerampilan. Pada 15 dan 16 Mac 2010 yang lalu, seramai 145 orang pengajar ILJTM telah terlibat di dalam Seminar Pengajar ILJTM Wilayah Utara di mana ILP Kepala Batas telah terpilih untuk menjadi tuan rumah. Pengajar-pengajar yang terlibat ini adalah daripada pelbagai institusi di bawah wilayah utara iaitu JMTI, ADTEC Kulim, ILP Jitra, ILP Kangar, ILP Kepala Batas, ILP Arumugam Pillai, ILP Perai dan ADTEC Taiping. Seramai 11 orang pegawai telah dilantik menjadi fasilitator sebagai pemudahcara dan memberi panduan kepada peserta-peserta semasa sesi brainstorming agar mereka dapat memberi fokus kepada isu-isu yang dibincangkan. Manakala pada 5 dan 6 April 2010, Seminar Pengajar Wilayah Tengah pula telah dijalankan dan ILP Kuala Langat telah dilantik sebagai tuan rumah. Seramai 170 orang pengajar ILJTM daripada pelbagai institusi di bawah wilayah tengah iaitu ADTEC Shah Alam, ILP Kuala Lumpur, ILP Kuala Langat, ILP Ipoh dan ILP Pedas telah terlibat di dalam seminar ini. Seramai 5 orang pegawai pula telah dilantik sebagai fasilitator untuk menunjuk ajar kepada peserta-peserta cara untuk mengaitkan antara isu-isu yang sedang dihadapi dengan hala tuju JTM yang telah disampaikan oleh penceramah. Resolusi bagi hasil perbincangan daripada setiap wilayah ini akan dibentangkan di ADTEC Shah Alam dengan dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi dan Pegawai Kanan JTM serta dirasmikan oleh Y.B Menteri Sumber Manusia atau Timbalan Menteri Sumber Manusia. Tajuk-tajuk yang telah dibincangkan adalah seperti di bawah:- a) 4 elemen penting yang perlu ada pada seorang pengajar kemahiran iaitu pemikiran kreatif, ketangkasan, ketepatan dan keberhasilan dalam melaksanakan setiap kerja bagi mencapai standard tinggi modal insan yang menjadi teras Rancangan Malaysia Ke-9. b) Pihak institut tidak dapat lari daripada menanganani isu dan masalah disiplin di kalangan pengajar dan kakitangan di institut yang mana akan menurunkan prestasi pengajar khasnya dan latihan kemahiran amnya. Ke mana halatuju pengajar ILJTM? c) Perubahan teknologi di industri Negara berkembang dan berubah dengan pesat dan pantas. Mampukah JTM membangunkan kurikulum dan silibus latihan seiring dengan perubahan tersebut?
Seterusnya, pada bulan Mei, Jun dan Julai akan datang, Seminar Pengajar ILJTM ini akan berlangsung di Wilayah Pantai Timur, Wilayah Selatan dan Wilayah Timur. Beberapa institut telah dipilih menjadi tuan rumah mengikut wilayah seperti di bawah:- a) Wilayah Pantai Timur : ILP Kuala Terengganu (Mei 2010) b) Wilayah Selatan : ILP Selandar (Jun 2010) c) Wilayah Timur : ILP Miri (Julai 2010) Secara keseluruhannya, seminar ini diharapkan dapat membantu pihak pengurusan JTM untuk memastikan pengajar-pengajar ILJTM diberi latihan yang secukupnya sebagai persediaan menjadi tenaga pengajar yang berkebolehan serta bersedia dalam menghadapi era globalisasi dan cabaran masa depan. Di samping itu juga, seminar ini dapat memberi kesedaran kepada pengajar-pengajar ILJTM terhadap tugas utama mereka dan strategi latihan kemahiran negara untuk mencapai negara maju pada tahun 2020.
|
| < Prev | Next > |
|---|




