
Pertamanya, kita memanjat kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana di atas taufik dan inayah-Nya dapat kita di panjangkan usia untuk sekali lagi menyambut bulan Ramadhan dalam keadaan harmoni, sihat dan penuh kerahmatan.
Sesungguhnya, Ramadhan merupakan bulan yang paling mulia, merupakan penghulu semua bulan dan ia juga menjadi bulan keberkatan dan bulan untuk umat Islam berpuasa sebagai ketundukan dan ketaatan kepada Allah s.w.t. Selain membersihkan hati dan jiwa, puasa juga adalah terapi efektif memelihara kesihatan diri. Justeru itu, peluang pembaikan diri dan hati ini wajar direbut oleh setiap individu Muslim khususnya semua warga JTM.
Sememangnya bulan Ramadhan ialah bulan untuk kita beramal ibadat dan membuat kebajikan. Cari ruang kesempatan ini untuk kita bermuhasabah diri mengenai komitmen dan pertanggungjawaban kita dalam melaksanakan tugasan sebagai pegawai awam di JTM. Apakah kita telah melunaskan usaha bakti sesuai dengan ganjaran rezeki yang kita perolehi untuk menghidupkan jiwa kita dan jiwa generasi tanggungan kita.
Ibarat menanam pohonan syurga, kita perlu kembali menjadi insan yang benar-benar bersyukur, berkhidmat dengan ikhlas dan berintegriti, membenih amal dan takwa serta berdisiplin. Tugas kita mendidik generasi bangsa merupakan tugasan yang mulia. Bakti menggalur ilmu itu adalah pelaburan akhirat yang tidak ternilai oleh kita semua.
Sungguh pun kita dituntut beramal ibadat di bulan yang mulia ini, janganlah kita mengambil kesempatan untuk leka dan lepas dari beban tanggungjawab. Puasa sebenarnya tidak meletihkan bagi mereka yang mempunya jiwa-jiwa yang segar. Jiwa yang segar perlu ada didalam setiap nurani kita untuk membentuk jati diri yang indah dan bertakwa.
Saya menyeru kepada diri saya dan semua warga kerja JTM supaya kita dapat saling membersihkan jiwa dan mengubah tabiat serta perangai kita untuk menjadi insan yang lebih kamil. Jadikan Ramadhan kali ini untuk kita melangkah melakukan perubahan diri menjadi warga kerja yang lebih baik dari yang sebelumnya.
Akhir kata, saya mewakili pengurusan JTM mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Berpuasa kepada semua warga kerja JTM yang beragama Islam di seluruh ILJTM. Marilah kita bersama-sama meraikan dan mengimarahkan Ramadhan ini bersama rakan kita dari pelbagai bangsa melalui kerukunan muhibbah dan saling bertoleransi.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh








