JABATAN Tenaga Manusia (JTM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd bagi meraikan kerjasama penubuhan JTM-Samsung Tech Academy di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini.

MoU tersebut ditandatangani Ketua Pengarah JTM, Dr Mary Wong Lai Lin dengan Presiden Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd, Lee Sang Hoon, disaksikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Mary berkata, kolaborasi mewujudkan JTM-Samsung Tech Academy di ILP Pasir Gudang adalah yang ketiga selepas ILP Kuala Lumpur pada 2014 dan ILP Kota Kinabalu dalam 2015.

Menurutnya, setakat ini, akademi tersebut sudah memberi latihan kepada kira-kira 600 pelajar dan mempunyai 43 tenaga pengajar yang memberi tumpuan terhadap teknologi Samsung dalam telefon dan televisyen pintar.

“Hari ini, saya bangga apabila kita mencapai satu lagi sejarah dalam kolaborasi bersama Samsung Malaysia Electronics.

“Di JTM-Samsung Tech Academy di ILP Pasir Gudang, selain latihan berkaitan telefon dan televisyen pintar, modul latihan baru akan diperkenalkan iaitu mesin basuh dan pembersih vakum pintar,” katanya.

Sementara itu, Jae Yeol berkata, Samsung Tech Academy menyediakan kemahiran vokasional kepada pelajar Malaysia dan mempersiapkan mereka untuk menjadi pakar dalam kemahiran teknikal dan khidmat pelanggan.

“Saya percaya peluang ini akan meningkatkan kemampuan pelatih dan menambah nilai kebolehan mereka menjadi sumber manusia bernilai dalam jangka masa panjang.

“Saya menyeru kepada pelajar untuk menerokai apa yang Samsung Tech Academy tawarkan. Sebagai pulangannya, saya harap pelajar akan mengguna pakai ilmu yang dimiliki untuk memberi inspirasi kepada perubahan positif dalam masyarakat dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian Online