Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM)   Click to listen highlighted text! Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM) Powered By JTM

News Feed

Category: News
Hits: 6794

Malay version only

 

Akhbar : Utusan Malaysia (Kampus) | Tarikh : 27 Mei 2013

SEREMBAN 27 Mei - Pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) B membuktikan keunggulan mereka meneruskan penguasaan institusi itu dengan menjuarai edisi ke-12 Pertandingan Robocon 2013 Kebangsaan di sini hari ini.

Dengan pencapaian itu, UTM muncul sebagai pemenang sebanyak sembilan kali manakala tiga pertandingan lagi dikuasai Universiti Multimedia sejak pertandingan itu bermula pada 2002.

Kejayaan UTM B yang menewaskan UTM A pada aksi perlawanan akhir di Stadium Tertutup Nilai dekat sini membolehkan mereka menggondol wang tunai RM10,000 selain trofi serta sijil.

Dengan kejayaan tersebut, UTM B akan mewakili negara ke peringkat antarabangsa di Vietnam tidak lama lagi.

Sementara itu, UTM A yang berjaya mendapat kedudukan naib johan pula menerima wang tunai RM7,000 beserta trofi iringan serta sijil.

Pasukan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Scorp dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pasir Gudang dan pasukan JTM Tok Gajah dari ILP Pahang pula sekadar berpuas hati di tempat ketiga dengan meraih wang tunai sebanyak RM5,000, trofi dan sijil.

Hadiah berkenaan disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Dr. Morshidi Sirat diiringi Timbalan Naib Canselor Bahagian Penyelidikan Inovasi Universiti Malaya, Prof. Awang Bulgiba Awang Mahmud.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Dr. Ahmad Jailani Muhamad Yunos; Ketua Eksekutif Institut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia Bhd. (SIRIM Bhd.), Dr. Zainal Abidin Mohd. Yusof dan Pengarah Bahagian Penyiaran Program Asia Pasifik, Takeshi Doki.

Pertandingan tahunan pertama kali diadakan di Negeri Sembilan itu menarik 53 penyertaan mewakili 36 institusi pengajian tinggi, institusi kemahiran dan latihan dari seluruh negara.

Pertandingan tersebut dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan, Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU), Radio Televisyen Malaysia, SIRIM Bhd. dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan penyertaan lebih 400 pelajar.

Sumber : Utusan Malaysia
Click to listen highlighted text! Powered By JTM