Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM)   Click to listen highlighted text! Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM) Powered By JTM

News Feed

Category: News
Hits: 5361

Malay version only

 

SERDANG, 23 Jan (Bernama) -- Muhamad Hafiz Brahim, tenaga pengajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi Melaka dan Muhammad Izzat Sulaiman, pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Rembau dinobatkan pemenang Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2013.

Anugerah berprestij itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena majlis penganugerahan itu di sini hari ini. Dengan kemenangan itu, mereka dijangka mewakili Malaysia ke Pertandingan Kemahiran Asean di Hanoi, Vietnam dari 19 hingga 29 Okt depan dan Pertandingan Kemahiran Dunia di Sao Paolo, Brazil dari 11 hingga 16 Ogos tahun depan. Muhamad Hafiz, 30, yang memenangi anugerah berkenaan bagi kategori MySkills berkata anugerah itu memberi inspirasi untuk terus membuktikan kemampuan beliau dalam bidang reka bentuk media digital. "Saya tak sangka memenangi anugerah ini, lebih-lebih lagi menerima anugerah daripada perdana menteri. Saya akan menggandakan usaha bagi melakukan yang terbaik, termasuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Muhammad Izzat, 20, yang memenangi anugerah bagi kategori Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) ternyata agak kecewa apabila anugerah beliau diterima pelajar lain sewaktu diumumkan. "Saya agak teruja apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang tetapi terkejut melihat orang lain pula yang menerima anugerah itu. Walaupun anugerah tersebut diserahkan kepada saya selepas majlis, kecewa itu memang ada," katanya. PKM merupakan pertandingan kemahiran yang diadakan setiap tahun untuk memilih dan mengiktiraf pelatih kemahiran yang mempunyai kemahiran unggul.

Pertandingan MySkills pula terbuka kepada pengajar dan pensyarah di institusi latihan awam dan swasta serta pihak industri bagi tujuan mengukur tahap kompetensi agar tenaga mahir yang dilahirkan mencapai tahap kemahiran yang tinggi. Terdahulu Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot dalam ucapannya berkata pertandingan yang diperkenalkan pada 1990 itu merupakan cetusan idea bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. "Penganjuran pertandingan selepas 23 tahun menyaksikan kira-kira 15,000 belia dan tenaga pengajar menyertai PKM dan Pertandingan MySkills," katanya.

Katanya kerajaan menaruh harapan pertandingan itu mampu memberi gambaran secara umum kepada orang ramai tentang maklumat dalam bidang kemahiran, peralatan yang digunakan dan boleh dijadikan sebagai penanda aras tahap pencapaian kemahiran di Malaysia.

-- Sumber BERNAMA

Click to listen highlighted text! Powered By JTM