Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM)   Click to listen highlighted text! Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM) Powered By JTM

Petikan Akhbar

Kategori: Akhbar
Hit: 9969

Akhbar : Utusan Malaysia - Korporat  |  Tarikh : 12 Januari  2013

KOTA KINABALU 11 Jan. - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) akan mula  melaksanakan lima projek mega bernilai RM45 bilion di Sabah pada tahun  ini.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Sabah dan Labuan, Joseph Podtung  berkata, projek tersebut merupakan sebahagian rancangan Petronas untuk  mengoptimumkan nilai sumber minyak dan gas yang ditemui di luar pesisir  Sabah.

"Projek-projek ini dilaksana dalam skala besar," katanya ketika  berucap dalam majlis makan tengah hari dan meraikan media sempena tahun  baru di sini semalam.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai dan wakil-wakil media negeri ini.

Kelima-lima projek itu ialah Terminal Minyak dan Gas (SOGT) di  Kimanis, Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) dan Projek Pembangunan  Bukan Berkaitan Gas (NAG) Kinabalu serta Projek Saluran Paip Gas  Sabah-Sarawak (SSGP) dan Stesen Janakuasa Kimanis (KPP)

Kilang baja urea ammonia Sabah (Samur) di Sipitang dan pembinaan Terminal Gas di Lahad Datu.

Tambah Joseph, SOGT yang melibatkan pelaburan sebanyak RM3.8 billion  merupakan projek daratan dan akan menerima, menyimpan, memproses dan  terminal eksport minyak dan gas.

"Projek SOGT bagi kemudahan menerima gas dijangka siap pada suku  ketiga tahun ini manakala kemudahan untuk menerima minyak dijangka siap  dalam suku pertama 2014.

"Apabila siap sepenuhnya, SOGT berupaya mengisi 260,000 tong minyak  (bpd) sehari dan gas asli sebanyak 1.250 juta kaki padu standard sehari  (mmsfcd)," ujarnya.

Sementara itu, katanya, projek SSGP yang bernilai RM4.6 bilion  dijangka siap menjelang suku keempat tahun ini dan pembinaan paip di  Sabah sepanjang 512 kilometer (km), melibatkan jarak 92 km untuk saluran  gas telah siap.

"Sejak 2009 sehingga 2011, Petronas telah mengagihkan sebanyak 45  kontrak bernilai RM1.07 bilion untuk syarikat-syarikat yang mengambil  bahagian dalam projek SOGT dan SSGP di Sabah," katanya.

Dalam pada itu, Joseph berkata, kampus tetap KTC bernilai RM30.5 juta  akan siap pada suku kedua tahun ini dan pada masa ini hanya beroperasi  dari premis sementara di Membakut Jaya dan mempunyai 48 pelatih.

Joseph berkata, ketika ini Petronas telah menjalinkan kerjasama  dengan Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian (ILP),  Kolej Yayasan Sabah (KYS), GiatMara di Kimanis dan Institut Latihan  Teknikal dan Perdagangan di Papar.

"Kesemua projek itu dijangka mewujudkan aktiviti ekonomi dan peluang  pekerjaan serta menyediakan peluang untuk syarikat-syarikat di Sabah,"  katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Click to listen highlighted text! Powered By JTM