Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM)   Click to listen highlighted text! Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM) Powered By JTM

Petikan Akhbar

Kategori: Akhbar
Hit: 5216

Akhbar : Utusan Malaysia  |  Tarikh : 1 Mac 2013
REMBAU 28 Feb. - Setiausaha Akhbar Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri  Dr. S. Subramaniam dan pemandunya maut selepas kenderaan utiliti sukan  (SUV) yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh belakang lori membawa  muatan plastik di Kilometer 232, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), dekat  sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa, B. Sivam, 35, maut  di tempat kejadian manakala pemandunya, Hazrin Hasan, 35, meninggal  dunia ketika dirawat di Hospital Melaka.

Difahamkan, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur  menuju ke Alor Gajah, Melaka untuk menghadiri satu program yang turut  dihadiri oleh menteri berkenaan.

Menurut jurucakap polis, ketika kejadian kenderaan jenis Nissan  X-Trail yang dinaiki mereka berdua terbabas dan bergesel dengan sebuah  kereta jenis Perodua Myvi sebelum merempuh belakang sebuah lori yang  membawa muatan plastik.

"Rempuhan kuat menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dalam kenderaan  sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba yang tiba tidak lama selepas  kejadian.

"Sivam yang duduk di bahagian hadapan maut di tempat kejadian akibat  cedera parah di kepala, manakala Hazrin pula meninggal dunia semasa  dirawat di Hospital Melaka," katanya di sini hari ini.

Jurucakap berkenaan memberitahu, pemandu lori dan kereta Myvi yang  turut terlibat dalam kemalangan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat.

Dalam pada itu, Subramaniam ketika ditemui di Hospital Tampin  berkata, Sivam sudah tiga tahun berkhidmat dengan beliau sebagai  Setiausaha Akhbar dan hubungan mereka sangat rapat.

"Saya amat sedih kerana kedua-dua mereka merupakan pekerja yang setia  dan bertanggungjawab dengan tugas selain banyak berjasa kepada kepada  kerajaan.

"Saya bukan sahaja kehilangan pekerja yang baik tetapi seorang  sahabat kerana mendiang Sivam amat rapat dengan saya dan hubungan kami  seperti saudara," katanya sambil memberitahu beliau menaiki kenderaan  berlainan dari arah Segamat, Johor menuju ke majlis di Alor Gajah  tersebut.

Subramaniam berkata, adik ipar Sivam iaitu M. Karnan, 35, ada  memaklumkan yang mendiang sebelum ini pernah menyuarakan hasrat membawa  ibu mentuanya yang tinggal di Jasin, Melaka tinggal bersama keluarganya  di Bandar Baru Kinrara, Selangor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Supritendan Mizan  Md. Dom mengesahkan kemalangan tersebut dan sedang menjalankan siasatan  untuk mengenal pasti punca kejadian.

Sumber dari : Utusan Melayu (M) Bhd
Click to listen highlighted text! Powered By JTM