Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM)   Click to listen highlighted text! Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM) Powered By JTM

Petikan Akhbar

Kategori: Akhbar
Hit: 7758

Akhbar : Kosmo  |  Tarikh : 10 April 2013

PUTRAJAYA – Belia India yang mempunyai kelulusan akademik rendah, miskin dan menganggur kini tidak perlu berputus asa memandangkan kerajaan telah menyediakan dana sebanyak RM50 juta bagi melaksanakan pelbagai program kemahiran untuk manfaat golongan tersebut.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, program latihan kemahiran kepada belia India itu akan memastikan golongan tersebut memperoleh akses pendidikan kemahiran dan teknikal yang teratur ke arah meningkatkan kerjaya dan taraf hidup masing-masing.

Katanya, skim latihan sepanjang tahun 2013 itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2013 tahun lalu.

Katanya, pihak kementerian menyediakan tempat kepada 3,200 belia India yang miskin, berpendidikan rendah serta tidak mendapat pekerjaan tetap untuk diserap dalam skim berkenaan.

“Pihak kementerian itu telah bekerjasama dengan enam institusi termasuk Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian serta kolej-kolej komuniti bagi tujuan pelaksanaan skim berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Subramaniam menambah, belia India yang terpilih akan ditaja sepanjang tempoh kursus dari setahun hingga tiga tahun itu termasuk penginapan dan makanan.

Malah, katanya, belia India akan ditawarkan kursus latihan dalam 16 jenis bidang bertaraf sijil dan diploma.

“Antara yang dikenal pasti ialah pengimpalan, elektrik dan elektronik, mekatronik, automotif, multimedia serta teknologi pemasangan gas.

“Kos sara hidup, yuran pengajian, elaun latihan industri pada semester akhir dan perlindungan insurans kemalangan semuanya ditanggung,” ujar beliau.


Sumber : Kosmo
Click to listen highlighted text! Powered By JTM