Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM)   Click to listen highlighted text! Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM) Powered By JTM

Petikan Akhbar

Kategori: Akhbar
Hit: 6175

KUCHING, 24 Okt  (Bernama) -- Masyarakat perlu mengikis tanggapan pendidikan teknikal dan vokasional sebagai opsyen kedua atau terakhir, agar matlamat kerajaan untuk mempunyai 50 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2020 tercapai.Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot berkata kesungguhan kerajaan untuk menampung keperluan industri dapat dilihat menerusi percambahan pusat latihan kemahiran dan teknikal, namun peratusan tenaga kerja mahir sedia ada masih terlalu kecil berbanding negara maju lain. "Dalam merealisasikan hasrat mencapai negara maju, kerajaan memperuntukkan RM449.5 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) untuk menyediakan kelengkapan latihan, tenaga pensyarah dan kemudahan lain bagi melatih dan mengeluarkan graduan yang mahir serta berketrampilan dalam bidang teknikal dan vokasional," katanya.

   Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Konvokesyen Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) Wilayah Timur ke-9 2013 (Zon Sarawak) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini Khamis. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Datuk Romli Hassan.Sebanyak 1,461 graduan berjaya menamatkan latihan mereka di ILJTM Wilayah Timur dan daripada jumlah itu 649 dari ILJTM Sarawak, 812 graduan dari ILJTM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Riot berkata Malaysia tidak mahu bergantung kepada pekerja asing tidak mahir walaupun berkos rendah yang kini bilangannya bertambah lebih dua kali ganda sejak tahun 2000 kepada 1.9 juta orang."Kebanjiran pekerja asing ini telah melambatkan pelaburan terutama dalam sektor pertanian dan pembuatan dan seterusnya mengurangkan pertumbuhan dan produktiviti lantas menjejaskan aspirasi negara untuk beralih kepada ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi," katanya.

   Sementara itu, Riot yakin graduan lepasan ILJTM Wilayah Timur berkemahiran tinggi dan berkualiti, seterusnya mampu bersaing dengan graduan dari institusi lain bagi mendapatkan pekerjaan. "Buktikan bahawa graduan ILJTM adalah berkemahiran tinggi dan berkualiti. Bagi para graduan yang telahpun bekerja pula, saya harap mereka kekal dalam pekerjaan dan penyumbang secara positif kepada syarikat atau majikan mereka, tunjukkan sikap setia, tumpuan yang padu kepada pekerjaan, sahsiah dan ketrampilan," katanya.

     --Sumber BERNAMA

Click to listen highlighted text! Powered By JTM