Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM)   Click to listen highlighted text! Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM) Powered By JTM

Petikan Akhbar

Kategori: Akhbar
Hit: 7493

PUTRAJAYA (Bernama) --  Mengikut statistik semasa, Malaysia dilapor merekodkan peratusan tenaga kerja mahir kira-kira 28 peratus daripada jumlah tenaga kerja. Peratusan ini dianggap masih rendah jika dibandingkan dengan negara luar seperti Singapura yang dianggarkan memiliki 52.8 peratus tenaga kerja mahir, Finland (44.5 peratus) dan Australia (42.9). Melihat kepada perangkaan ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem dipetik sebagai berkata kerajaan akan meneruskan usaha memastikan keperluan tenaga kerja mahir dapat dicapai melebihi 50 peratus menjelang 2020.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Datuk Romli Hassan memberitahu Bernama dalam satu temubual eksklusif bahawa faktor seperti perubahan teknologi yang begitu pesat dan keperluan tenaga kerja mahir yang mendesak menyebabkan JTM menubuhkan lebih banyak institusi latihan di seluruh negara. Kini JTM memiliki 32 Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) merangkumi 23 Institut Latihan Perindustrian (ILP), lapan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan sebuah Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI).


KEBOLEHPASARAN GRADUAN

Menurut Romli, JTM bukan sahaja memfokus kepada melahirkan graduan yang berdaya saing tetapi juga memastikan 'produknya' adalah tenaga kerja mahir yang diperlukan oleh industri. "Berdasarkan kajian yang telah dijalankan bagi sesi 1/2013, tahap penerimaan majikan terhadap pelajar ILJTM semasa menjalani latihan industri membuktikan 98 peratus yakin dengan prestasi yang ditunjukkan oleh para pelajar berkenaan. "Manakala pada tahun 2012 dianggarkan 85 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam masa enam bulan selepas tamat pengajian," katanya.

Menyentuh mengenai sumbangan JTM dalam melahirkan tenaga kerja mahir untuk negara, Romli berkata sehingga kini ILJTM telah melahirkan 532,678 tenaga mahir melibatkan graduan kursus sepenuh masa dan kursus jangka pendek dalam pelbagai bidang. Melihat kepada statistik kebolehpasaran graduan ILJTM, masyarakat terutama ibu bapa menurut beliau perlu mengubah tanggapan mereka yang pendidikan berasaskan kemahiran atau vokasional merupakan pilihan kedua.

MODAL INSAN BERKUALITI

"Di ILJTM, kami menggunakan pendekatan baharu untuk memastikan graduan yang dihasilkan merupakan tenaga kerja mahir yang kompeten, berkualiti dan memenuhi kehendak industri. "Kami latih mereka menjadi usahawan  berbekalkan kemahiran yang mereka pelajari. Dengan menguasai kemahiran tertentu mereka mampu melangkah lebih jauh di alam pekerjaan, mereka bukan sahaja menyiapkan diri menjadi pekerja berjaya tetapi usahawan yang  mampu berdaya saing," katanya.

Menurut Romli, kejayaan seseorang graduan bukan sekadar diukur berdasarkan kecemerlangan akademik tetapi berdasarkan pertimbangan yang lebih luas iaitu membabitkan kemahiran berkomunikasi dengan baik, sikap yang betul,  dan jati diri yang kental selain pengetahuan yang luas, kemahiran yang tinggi dan pengalaman yang banyak. "Elemen-elemen itu cuba diterapkan ILJTM pada setiap graduannya, demi menyediakan mereka menceburi dunia pekerjaan yang mencabar," kata beliau. Di samping itu, menurut beliau, JTM turut memberi fokus kepada usaha meningkatkan kualiti tenaga pengajar di ILJTM.


DIPLOMA VOKASIONAL MALAYSIA

Menurut Romli, antara pendekatan lain yang turut dilakukan adalah bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui program pembudayaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan dengan  melatih pelajar seawal usia 15 tahun mengikuti pendidikan dan latihan peringkat Diploma Vokasional Malaysia.

Fasa pertama program itu telah bermula pada Julai lepas dan seramai 495 pelatih telah diambil untuk projek perintis dengan mereka mengikuti 12 kursus yang ditawarkan di 11 ILJTM. Bagi pengambilan sesi 1 Januari 2014 pula  seramai 925 pelajar lagi  mengikuti 16 kursus di 14 ILJTM.

"Dengan pelaksanaan program itu, JTM telah memberi peluang kepada pelajar lepasan PMR mengikuti pendidikan dan latihan peringkat diploma dengan tempoh pengajian selama empat tahun," katanya. Selain itu, JTM juga telah memulakan langkah untuk menerokai bidang teknologi minyak dan gas. Setakat ini, terdapat empat ILJTM yang memulakan sesi pengajian dalam bidang itu - ADTEC Batu Pahat, ILP Pasir Gudang, ILP Labuan dan ILP Kota Kinabalu.


KERJASAMA DENGAN SEKTOR KORPORAT

Menurut Romli, usaha JTM untuk melahirkan modal insan mendapat kerjasama dan sokongan daripada pelbagai badan korporat antaranya Petronas,  Proton, Perodua, Malaysia Airlines dan Tenaga Nasional Berhad.  Di samping itu,  Romli berkata JTM turut mengadakan kolaborasi bagi membolehkan para pelajarnya memperolehi sijil profesional yang diiktiraf oleh  badan-badan kelayakan dan pensijilan seperti Suruhanjaya Tenaga, The Welding Institute (TWI), 
Cisco Certified Network Associate (CCNA) dan Microsoft Certified Professional (MCP).


KEJAYAAN DAN PENGIKTIRAFAN

Sepanjang 2013 menurut Romli banyak kejayaan yang dilakar dan pengiktirafan yang diperolehi oleh JTM melalui pertandingan-pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Peserta daripada ILJTM yang menyertai World Skills Competition (WSC) yang berlangsung di Leipzig, Jerman telah memperolehi tiga pingat kecemerlangan (Medallion of Excellence) dalam bidang penyejukan dan penyaman udara , paip dan pemanasan dan
teknologi kimpalan.

"Semasa Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-24 (ITEX 2013), JTM telah memperolehi tiga pingat emas, empat pingat perak dan tiga pingat gangsa. Salah satu daripada rekacipta JTM telah menerima  pengiktirafan daripada Rusia," katanya.

Sementara itu, salah sebuah pasukan JTM yang menyertai pertandingan Robot peringkat kebangsaan pada Mei lepas juga telah berjaya mengharumkan nama JTM apabila memenangi Anugerah Rekabentuk Robot Terbaik. Beliau turut memberi contoh antara kejayaan lain graduannya termasuk  mendapat tawaran pekerjaan di luar negara seperti di Doha, Dubai dan Jerman.

"Ini sebagai bukti bahawa JTM telah berjaya melahirkan usahawan dan ikon pelajar yang akan memberi motivasi kepada pelajar lain bahawa bidang kemahiran ini mampu pergi lebih jauh. Mereka yang mempelajari bidang  kemahiran dan mempunyai minat mempunyai masa depan yang cerah," katanya.

Romli turut menggesa dan menyeru masyarakat terutamanya ibu bapa supaya mengubah persepsi negatif bahawa bidang kemahiran adalah untuk golongan yang 'tercicir'. Sudah sampai masanya untuk masyarakat mengubah mentaliti bahawa bidang kemahiran ini tidak mampu memberi masa depan yang cerah.

Telah banyak kejayaan yang dirintis oleh mereka yang mengikuti bidang kemahiran malahan mereka mampu mendapat gaji yang lebih tinggi dengan kemahiran yang mereka miliki. Masyarakat tidak perlu ragu-ragu lagi untuk
memilih bidang kemahiran.

  -- SUMBER BERNAMA

Click to listen highlighted text! Powered By JTM