Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM)   Click to listen highlighted text! Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM) Powered By JTM

Petikan Akhbar

Kategori: Akhbar
Hit: 5348

Akhbar : Utusan Malaysia - Utara | Tarikh : 25 Februari 2014

KEPALA BATAS 24 Feb. - Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), kolej dan pelajar tingkatan enam disaran mempersiapkan diri termasuk dengan kemahiran berfikir secara kritikal bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd. Zain Ahmad berkata, persiapan itu bagi membolehkan mereka memenuhi cabaran berbekalkan ilmu akademik dan kebolehan yang dimiliki.

"Semua peringkat pelajar perlu melengkapi diri dengan kemahiran tertentu termasuk cara berkomunikasi bagi memudahkan mereka apabila memasuki alam pekerjaan kelak.

"Ini kerana persaingan untuk mendapatkan kerja semakin sukar berikutan terlalu banyak bilangan yang memohon berbanding dengan penawaran kerja yang tidak seberapa," katanya semasa merasmikan majlis penutup Seminar Kerjaya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muda, Penaga, di sini semalam.

Seminar Kerjaya anjuran Biro Latihan, UMNO Bahagian Kepala Batas itu dihadiri kira-kira 350 peserta melibatkan pelajar-pelajar daripada Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas, Institut Pertanian Bumbung Lima, Kolej Komuniti Kepala Batas, Pusat GiatMara Kepala Batas dan Tasek Gelugor serta pelajar beberapa buah sekolah sekitar daerah ini.

Selain diberikan taklimat kerjaya pilihan, peserta seminar itu juga didedahkan dengan ceramah peluang pekerjaan dan strategi penyediaan resume serta panduan semasa menghadiri temu duga.

Yang hadir sama, Pengetua SMK Sri Muda, Mohd. Noor Yusoff.

Dalam pada itu, Mohd. Zain turut mengingatkan pelajar dan pelatih pusat latihan supaya tidak hanya mengharapkan kerajaan membantu mereka memperoleh pekerjaan sebaliknya turut memenuhi tuntutan itu sendiri.

Sehubungan itu, tambah beliau, para pelajar perlu meningkatkan pengetahuan dalam bidang-bidang berkaitan selain berusaha meningkatkan kemahiran mengikut keperluan semasa.

"Ini bagi memudahkan mereka memahami matlamat kerjaya pilihan supaya apa yang diidamkan berjaya dicapai," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia
Click to listen highlighted text! Powered By JTM