Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM)   Click to listen highlighted text! Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM) Powered By JTM

Petikan Akhbar

Kategori: Akhbar
Hit: 4715

Akhbar : Bernama | Tarikh : 19 September 2014


 

LABUAN - Jabatan Tenaga Manusia (JTM) bekerjasama dengan Serba Dinamik Sdn Bhd (SDSB) bagi meningkatkan kebolehpasaran dan kemahiran pelajar Institut Latihan Perindustrian Labuan (ILPL) dalam bidang minyak dan gas.

Ketua Pengarah JTM Chin Phaik Yoong berkata, menerusi kerjasama strategik yang dimeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) itu, pelajar akan diberi perkhidmatan perundingan dan khidmat nasihat kemahiran teknikal oleh SDSB yang berpengalaman 22 tahun dalam industri minyak dan gas di negara ini.

Katanya jalinan itu juga bakal membuka peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran teknikal mereka secara berperingkat melalui program latihan industri serta program sangkutan industri yang dipersetujui bersama.

"Setakat ini, rancangan kerjasama yang akan dilaksanakan bersama SDSB ialah latihan kemahiran teknikal kepada 23 pelajar dan tenaga pengajar melibatkan modul 'Inspection and Maintenance of Pump' serta modul 'Practical Approach to Precision Alignment Methods' yang diadakan bermula bulan ini sehingga Oktober," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Phaik Yoong yakin jalinan kerjasama itu mampu melahirkan lebih banyak tenaga kerja mahir mengikut acuan industri bagi memenuhi keperluan dalam bidang minyak  dan gas pada masa depan.

Menurutnya usaha sama itu dilihat sejajar dengan sasaran kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 untuk memiliki 33 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2015 dan meningkat kepada 50 peratus pada 2020.
   
Pada majlis hari ini, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli serta Ahli Dewan Negara Senator, Datuk Yunus Kurus bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Mohd Nadzri Othman menyaksikan MoU itu yang ditandatangani oleh Phaik Yoong mewakili JTM, manakala SDSB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Abdul Karim Abdullah. - Bernama

Click to listen highlighted text! Powered By JTM