Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM)   Click to listen highlighted text! Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM) Powered By JTM

Petikan Akhbar

Kategori: Akhbar
Hit: 4470

 

 

 

Akhbar : BERNAMA Online (Berita)   |  Tarikh : 31/10/2014


Sembilan peserta negara menunjukkan pingat emas yang dimenangi mereka pada Majlis Penutup Pertandingan Kemahiran Asean (ASC) 2014 Hanoi di Pusat Konvensyen Nasional Hanoi (NCC) Vietnam. Malaysia berjaya merangkul sembilan pingat emas, tujuh perak dan lima gangsa dalam pertandingan ini. Foto: Mohd Huzaini DaudHANOI, 28 Okt (Bernama) -- Penyertaan Malaysia pada Pertandingan Kemahiran Asean (ASC) ke-10 di sini mencatat prestasi membanggakan dengan menggondol sembilan pingat emas, lima perak dan empat gangsa.

Bertempat di Pusat Konvensyen Nasional (NCC) Hanoi, Vietnam, peserta Malaysia Ashwin Nicholas Oon, yang memenangi pingat emas dalam bidang memasak, muncul peserta terbaik 'Best Of Nation' pada pertandingan kali ini.

Semua kesembilan pingat emas Malaysia dimenangi peserta individu dalam bidang mendandan rambut, terapi kecantikan (dua individu), teknologi fesyen, kerja paip dan pemanasan, penyejuk bekuan dan penyaman udara, memasak, sistem rangkaian komputer serta Mechanical Engineering Design CAD.


Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (tengah) bersama sebahagian pemenang pada Majlis Penutup Kejohanan Pertandingan Kemahiran Asean (ASC) 2014 Hanoi di Pusat Konvensyen National Hanoi (NCC) Vietnam. Malaysia berjaya memenangi sembilan pingat emas, tujuh perak dan lima gangsa dalam pertandingan ini. Foto: Mohd Huzaini Daud

Perak pula dimenangi peserta berkumpulan dari bidang CNC maintenance manakala empat lagi menerusi bidang secara individu iaitu membuat perabot, penyejuk bekuan dan penyaman udara, sistem rangkaian komputer dan pemasangan elektrikal.

Gangsa pula dimenangi empat peserta yang menyaksikan bidang kerja paip dan pemanasan diikuti penerapan bata (bricklaying) dan teknologi automotif dan mekatronik.

Ini bermakna Malaysia menduduki tempat kedua secara keseluruhan dalam ASC kali ini di belakang tuan rumah Vietnam yang menggondol 15 pingat emas.

Hadiah disampaikan Timbalan Perdana Menteri Vietnam Vu Duc Dam dan Menteri Buruh dan Sumber Manusia Vietnam Pham Thi Hai Chuyen yang bersama menyampaikan pingat kepada para pemenang.

Pencapaian peserta Malaysia kali ini merupakan kejayaan yang amat bermakna di mana ia merupakan pencapaian terbaik sejak dari penganjuran pertama kalinya pada tahun 1995, sekaligus mengatasi pencapaian terbaik sebelum ini dilakukan pada ASC ke-9 di Jakarta pada 2012 menerusi tiga pingat emas, empat perak dan empat gangsa.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, yang merupakan ketua kontinjen bersama delegasi Malaysia ke pertandingan kali ini, turut meraikan kejayaan peserta negara pada acara penutup malam ini.

Dalam majlis itu juga, Ismail menerima penyerahan bendera kejohanan sebagai simbolik Malaysia akan menjadi tuan Rumah ASC 2016 di Kuala Lumpur.

Malaysia menghantar 51 peserta untuk mengambil bahagian dalam kesemua 25 bidang kemahiran yang dipertandingkan.

ASC dianjurkan setiap dua tahun sekali dan dihoskan secara bergilir dalam kalangan negara anggota Asean.

-- BERNAMA

 

 

 

Click to listen highlighted text! Powered By JTM