Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM)   Click to listen highlighted text! Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM) Powered By JTM

Petikan Akhbar

Kategori: Akhbar
Hit: 6024

Akhbar : Utusan - Nasional  | Tarikh : 21 April 2015


MARANG 21 April - Kira-kira 90 peratus pelatih lepasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di seluruh negara berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor dalam tempoh setahun meninggalkan institusi itu. Menurut Timbalan Ketua Penga­rah Jabatan Tenaga Manusia, Syed Mohammad Noor Syed Ali, ini memperlihatkan bukan sahaja bidang kemahiran makin diperlukan malah lepasan institut itu berupaya bersaing dalam pasaran kerja. Katanya, kini terdapat sebanyak 32 institusi seumpama itu di seluruh negara di bawah kendalian Kementerian Sumber Manusia yang me­nempatkan seramai 20,500 pelatih. Beliau memberitahu, perkemba­ngan positif itu menunjukkan kursus dan latihan kemahiran yang disediakan di ILP mampu melahirkan pelatih profesional dalam bidang-bidang kemahiran yang mereka ikuti. “Ini tanda ILP yang ada berjaya melahirkan ramai tenaga mahir, berdaya saing dan mampu menembusi pasaran pekerjaan di negara ini,” katanya. Syed Mohammad Noor menyatakan perkara itu dalam sidang akhbar selepas majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Pintar Antara ILP Marang Dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Terengganu (Tesdec) Sdn. Bhd. di ILP berkenaan dekat sini semalam. Majlis itu disaksikan oleh Pe­ngerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri yang juga Pengerusi Tesdec, A. Latiff Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Teknikal ILP Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar. Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Tesdec, Omar Mat; Ahli Lembaga Pengarah Kolej itu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah ILP Marang, Zulkifle Omar. Menurut beliau, sehingga kini pihaknya menerima permohonan yang semakin meningkat dalam kalangan lepasan sekolah bagi memasuki ILP di seluruh negara. Dalam perkembangan sama, jelasnya, pihaknya juga mempunyai perancangan untuk menambah beberapa kursus kemahiran baharu terutama di ILP Marang. “Kita memang merancang untuk tambah kursus baharu di ILP ini (Marang) iaitu kursus jaminan kualiti serta mekanikal dan gas, bagaimanapun perkara ini masih dalam proses perbincangan,” ujarnya. 

~ Sumber Utusan

Click to listen highlighted text! Powered By JTM