Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM)   Click to listen highlighted text! Selamat Datang PORTAL RASMI JABATAN TENAGA MANUSIA (JTM) Powered By JTM

Petikan Akhbar

Kategori: Akhbar
Hit: 1804

Akhbar : Karangkraf (www.karangkraf.com)    |    Tarikh : 16 Disember 2018


SUNGAI SIPUT - Kementerian Sumber Manusia merancang untuk memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila menerima permintaan tinggi di Sabah dan Sarawak.

Menterinya, M Kula Segaran berkata, graduan TVET dilihat berupaya bersaing dalam pasaran pekerjaan terutama penawaran tenaga mahir dalam pelbagai bidang.

“Lawatan baru-baru ini di Sarawak mendapati lebih 2,000 permintaan diterima untuk melanjutkan pelajaran sedangkan tiga institut di Miri, Kota Samarahan dan Bintulu menawarkan 600 tempat sahaja.

“Keadaan itu berbeza di Semenanjung Malaysia. Jadi kita lebih beri perhatian khusus dengan memohon peruntukan disalurkan supaya anak-anak Sabah dan Sarawak menerima peluang yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Bersama Rakyat yang turut dihadiri Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan di Arena Square Sungai Siput di sini, hari ini.

Menurutnya, Orang Asli di seluruh negara digalakkan untuk turut menyertai skim pendidikan itu.

“Kursus yang ditawarkan TVET dengan kemudahan teknologi tinggi ini memberi 100 peratus peluang pekerjaan dengan tawaran gaji yang lumayan.

“Selain itu, tenaga mahir diperlukan bagi mencapai hasrat sebagai negara membangun sekaligus memberi keyakinan kepada pelabur asing,” katanya.

Sementara itu, Kesavan mengesyorkan cawangan Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) diadakan di Sungai Siput bagi memudahkan urusan penduduk.

“Kita menerima aduan daripada penduduk untuk mudah berurusan dengan Perkeso tanpa perlu ke pekan berhampiran sama ada di Ipoh atau Kuala Kangsar.

“Program turun padang melibatkan agensi kerajaan perlu terus diadakan bagi membuka minda rakyat akan peranan kerajaan mahupun pendidikan,” katanya.

Sumber : Karangkraf (www.karangkraf.com)

Click to listen highlighted text! Powered By JTM