TEKS UCAPAN PERASMIAN
YB DATO’ SRI RICHARD RIOT ANAK JAEM
MENTERI SUMBER MANUSIA
SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN ILJTM KALI KE-21 TAHUN 2016
DI PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE
PADA 28 JULAI 2016 (KHAMIS)
Terima kasih saudara dan saudari pengacara majlis.
Yang Berbahagia Dato’ Sri Adenan bin Ab. Rahman,
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia;
Yang Berbahagia Dato’ Chin Phaik Yoong,
Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia,
Ketua - ketua Jabatan dan Agensi serta Pegawai-pegawai kanan Kementerian Sumber Manusia,
Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, tetamu jemputan, para ibu dan bapa, dan para graduan yang saya kasihi sekelian.
Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia dan Salam Sehati Sejiwa.
- Terima kasih saya ucapkan kepada pihak Jabatan Tenaga Manusia kerana sudi menjemput saya ke Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia Kali Ke-21 Tahun 2016. Saya berasa gembira dan bangga kerana dapat bersama-sama meraikan kejayaan para graduan dalam Majlis Konvokesyen ini. Tahniah saya ucapkan kepada para graduan kerana telah berjaya menamatkan pengajian dan bakal menerima sijil dan diploma masing-masing pada hari yang bersejarah ini.
- Saya percaya bahawa Majlis Konvokesyen ini adalah satu majlis yang istimewa khususnya bagi para graduan serta ibu-bapa mereka. Pada hari ini, saudara dan saudari para graduan telah membuktikan bahawa saudara dan saudari adalah insan-insan yang gigih dan telah berusaha keras untuk belajar bagi mendapatkan segulung sijil ataupun diploma. Ini adalah satu kejayaan yang patut dibanggakan kerana bukan semua anak-anak muda kita memilih untuk meneruskan pengajian selepas tamat alam persekolahan.
- Saya dimaklumkan bahawa pada Majlis Konvokesyen kali ini seramai dua ribu sembilan ratus, sembilan puluh sembilan (2,949) orang graduan iaitu terdiri daripada seribu lapan belas (1,018) orang lulusan Diploma dan Diploma Lanjutan, dan seribu sembilan ratus tiga puluh satu (1,931) orang lulusan Sijil layak menerima diploma dan sijil masing-masing. Pada sesi pagi ini sahaja, seramai seribu empat ratus tujuh puluh (1,470) orang graduan layak menerima sijil dan diploma mereka. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada para graduan.
Para hadirin sekalian,
- Kementerian Sumber Manusia sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam membangunkan modal insan yang berkualiti. Ini penting kerana keperluan terhadap tenaga kerja mahir akan semakin meningkat seiring dengan perkembangan teknologi. Pada masa kini, pekerja yang berkemahiran tinggi adalah diperlukan untuk melaksanakan tugas yang semakin kompleks, membuat inovasi, dan menambahbaik proses dan produk melalui penggunaan teknologi baharu.
- Dalam usaha melahirkan pekerja yang mahir, inovatif, dan kreatif memerlukan pendidikan dan latihan yang berterusan. Golongan muda perlu diberi akses kepada pendidikan dan latihan pra-pekerjaan (atau pre-employment education and training) yang berkualiti supaya mereka berpeluang untuk mendapat pekerjaan yang memberi pendapatan yang baik. Apabila mereka sudah masuk ke alam pekerjaan, latihan yang berterusan bagi meningkatkan lagi keupayaan mereka ke tahap yang lebih tinggi juga adalah penting.
- Sehubungan itu, Jabatan Tenaga Manusia, selaku pengendali latihan kemahiran yang utama di negara ini mempunyai peranan yang penting bagi memastikan hasrat untuk melahirkan pekerja yang mahir, inovatif dan kreatif dapat dicapai. Institusi Latihan di bawah Jabatan Tenaga Manusia iaitu Institut Latihan Perindustrian, Pusat Latihan Teknologi Tinggi, dan Institut Teknikal Jepun-Malaysia akan sentiasa berusaha untuk mempertingkat mutu kursus yang dikendalikan di samping menawarkan kursus-kursus baharu yang sesuai dengan perkembangan teknologi serta memenuhi keperluan industri. Dengan cara ini kita dapat memastikan bahawa ILJTM kekal relevan dengan menawarkan program-program yang bersesesuaian dengan keperluan semasa.
- Di ILJTM, tumpuan dan fokus adalah diberikan terhadap pembelajaran dan latihan secara amali atau secara hands-on. Dengan cara ini, pelajar akan berpeluang untuk benar-benar menguasai sesuatu kemahiran yang diajar. Bagi membolehkan latihan dijalankan dengan berkesan, setiap institut dilengkapi dengan mesin dan peralatan yang terkini dan setara dengan apa yang digunapakai di industri. Ini memberi peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan dalam satu persekitaran yang mirip dengan keadaan sebenar di industri.
- Melalui pembelajaran secara hands-on ini, graduan dari ILJTM akan lebih menguasai kemahiran dalam sesuatu bidang teknologi berbanding dengan lulusan dari universiti yang lebih menitikberatkan pengetahuan teori. Hasilnya, apabila mereka masuk ke tempat kerja, graduan dari ILJTM akan mampu melaksanakan kerja teknikal tanpa perlu menerima terlalu banyak tunjuk ajar daripada penyelia.
- Di samping itu, penekanan turut diberikan kepada pembangunan insaniah dari aspek kerohanian atau spiritual, serta pembangunan kemahiran yang berbentuk softskills seperti kemahiran komunikasi, kebolehan bekerja dalam kumpulan, dan kepimpinan. Saya percaya bahawa pembangunan individu yang holistik adalah perlu dititikberatkan selain pembangunan kemahiran teknikal dan vokasional. Dengan usaha yang telah dilakukan di ILJTM, saya yakin kita akan berjaya melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam bidang pengkhususannya, malah turut mempunyai sifat-sifat peribadi yang baik.
- Saya juga tertarik dengan usaha Jabatan Tenaga Manusia untuk menjejaki graduan-graduan ILJTM yang telah berjaya dalam kerjaya mereka masing-masing. Sebuah buku telah diterbitkan oleh JTM yang bertajuk “Be Inspired” yang mengandungi “Success Stories”, atau kisah kejayaan graduan-graduan dari ILJTM dalam kerjaya masing-masing. Di kalangan graduan ILJTM, ramai yang bertugas sebagai industry specialist dan ada yang memperolehi pendapatan bulanan lima angka. Ada juga yang menjadi usahawan berjaya atau bekerja di luar negara dengan syarikat antarabangsa. Tidak kurang juga mereka yang menjadikan sijil kemahiran sebagai ‘batu loncatan’ untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan ijazah lanjutan. Malah telah ada yang memiliki kelulusan Doktor Falsafah dan berkhidmat di universiti tempatan.
- Berdasarkan statistik kebolehkerjaan (atau employability) bagi graduan ILJTM sejak tiga tahun kebelakangan ini, jelas terdapat peningkatan yang berterusan iaitu dari kadar lapan puluh dua perpuluhan lima peratus (82.5%) pada tahun 2013, ke lapan puluh tujuh peratus (87%) pada tahun 2014, dan sembilan puluh dua perpuluhan tujuh peratus (92.7%) pada tahun 2015. Ini menunjukkan penerimaan yang baik di kalangan majikan terhadap graduan ILJTM. Sehubungan itu, saya berkeyakinan graduan dari ILJTM akan terus mendapat tempat di pasaran pekerjaan.
- Namun demikian, saya ingin menasihati para graduan agar tidak terus berpuas hati apabila sudah mendapat pekerjaan. Usaha berterusan perlu dilakukan bagi meningkatkan keupayaan diri dalam pelbagai aspek termasuklah aspek teknikal, komunikasi, dan kepimpinan. Dalam usia yang masih muda, saudara dan saudari perlu terus belajar, samada secara formal atau tidak formal. Terapkan budaya Pembelajaran Sepanjang Hayat (atau Life Long Learning) selaras dengan aspirasi Kerajaan dengan meneruskan usaha meningkatkan kelayakan akademik dan kelayakan professional dalam bidang masing-masing. Dengan cara ini, saya percaya saudara dan saudari akan mempunyai peluang yang cerah untuk maju dalam kerjaya masing-masing.
- Untuk berjaya dalam bidang masing-masing, saudara dan saudari perlu ada keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru. Jangan kekal dalam zon selesa (atau comfort zone) masing-masing. Kita perlu sentiasa mencari cabaran yang baharu untuk meningkatkan diri kita dari tahap sedia ada ke satu tahap yang lebih tinggi. Cabaran baharu ini boleh datang dalam pelbagai bentuk samada tugasan yang baharu, kerjaya yang baharu, ilmu yang baharu, atau tempat kerja yang baharu. Jangan lari dari cabaran, malah hadapinya dengan bersungguh-sungguh. Dan apabila cabaran itu telah berjaya dihadapi, saudara dan saudari akan menjadi seorang insan yang lebih baik dari sebelumnya.
Para hadirin sekalian,
- Pada tahun ini, negara kita akan menjadi tuan rumah kepada ASEAN Skills Competition yang akan diadakan di MAEPS Serdang, Selangor pada 23 hingga 26 September 2016. Pertandingan ini akan menyaksikan negara kita bersaing dengan negara-negara ASEAN bagi membuktikan kejaguhan kita dalam bidang kemahiran teknikal. Sebanyak 25 bidang kemahiran akan dipertandingkan. Saya dimaklumkan bahawa seramai 15 orang peserta dari JTM akan mewakili negara dalam 11 bidang kemahiran. Saya harap semua peserta akan menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam pertandingan ini. Dalam ASEAN Skills Competition yang diadakan pada tahun 2014 di Hanoi, Vietnam, negara kita mendapat tempat kedua dengan memungut 9 pingat emas. Sasaran kita pada tahun ini ialah untuk menjadi juara ASEAN dengan memungut sekurang-kurang 15 pingat emas. Dengan kelebihan kita selaku tuan rumah saya percaya kita mampu melakukannya. Dan saya berharap peserta-peserta dari JTM khususnya akan menyumbang pingat emas bagi membolehkan kita menjadi juara ASEAN pada kali ini.
Para hadirin sekalian,
- Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin menasihatkan para graduan supaya jangan melupakan jasa ibu dan bapa, atau penjaga yang telah mendidik anda sejak dari kecil sehinggalah berjaya pada hari ini. Hargailah pengorbanan yang telah mereka lakukan dan berbaktilah kepada mereka apabila saudara dan saudari telah mampu berdikari. Jangan lupakan juga jasa para guru dan pensyarah yang telah memberi pelajaran, sejak dari sekolah rendah, hingga ke sekolah menengah dan seterusnya di ILJTM. Hargai segala ilmu yang telah diterima, dan manfaatkannya untuk diri sendiri, untuk keluarga dan untuk komuniti dan negara. Semoga saudara dan saudari yang bergelar graduan ILJTM ini akan menjadi warga Malaysia yang bermanfaat kepada semua.
- Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan di atas kejayaan yang diperolehi. Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua pihak yang telah bekerja keras bagi menjayakan majlis ini. Semoga Majlis Konvokesyen pada hari ini akan menjadi satu majlis yang istimewa dan kekal dalam ingatan kita sepanjang hayat. Dengan ini, saya dengan penuh takzim merasmikan Majlis Konvokesyen ILJTM Kali Ke-21 tahun 2016.
Sekian, terima kasih.