Graduan Lulusan Kemahiran Teknikal Mampu Peroleh Pendapatan Lebih Baik
TAIPING, 22 Mac (Bernama) -- Ada dalam kalangan graduan dengan kemahiran teknikal dan vokasional memperoleh pendapatan lebih baik dalam sesetengah bidang pekerjaan berbanding mereka yang cemerlang dalam akademik.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata lebih membanggakan terdapat kalangan graduan yang bertugas sebagai pakar industri dan memperoleh pendapatan lebih RM10,000 sebulan.
Mengambil contoh Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Riot berkata ramai graduan daripada institusi itu menjadi usahawan berjaya atau bekerja dengan syarikat antarabangsa di luar negara.
"Tidak kurang juga mereka yang menjadikan sijil kemahiran sebagai batu loncatan untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan ijazah lanjutan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian ADTEC Taiping di sini, Selasa.
Perasmian disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim serta Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain.
Riot berkata kerajaan mengunjurkan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu yang bakal diwujudkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) memerlukan kelayakan dalam bidang teknikal dan vokasional.
Menjelas lanjut mengenai usaha kementerian untuk memperkasa bidang kemahiran dan teknikal, beliau berkata setakat ini pihaknya mempunyai 32 institusi latihan seluruh negara yang dikendalikan Jabatan Tenaga Manusia.
"Sejak institut pertama ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 1964, hampir 645,000 telah dilatih melalui pelbagai program sepenuh masa dan program jangka pendek atau separuh masa," katanya.
Mengenai ADTEC Taiping, Riot berkata ia merupakan satu-satunya institusi di negara ini yang menawarkan program diploma pelbagai bidang termasuk Teknologi Kejuruteraan Mekatronik dan Teknologi Kejuruteraan Jaminan Kualiti.
Katanya penubuhan ADTEC Taiping yang mula beroperasi sejak Julai 2012 memberi peluang kepada anak muda tempatan khususnya di Perak dan sekitar Wilayah Ekonomi Koridor Utara mempelajari serta mendapatkan kelayakan dalam bidang teknologi dan teknologi kejuruteraan.
"Selaras dengan strategi memperkukuhkan pembelajaran sepanjang hayat untuk peningkatan kemahiran di bawah RMK-11, ADTEC Taiping turut menawarkan program latihan jangka pendek kepada pekerja industri dan orang awam yang berminat," katanya.
-- BERNAMA