Akhbar : BH Online | Tarikh : 06/08/2017
PASIR GUDANG: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mensasarkan kira-kira 20,000 pelatih bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) diberikan pendedahan asas Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) menjelang tahun 2020.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohtar Musri, berkata sehingga kini, lebih 4,000 pelatih mendapat manfaat menerusi penganjuran program OSH@TVET yang diadakan di beberapa Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Johor, Kedah dan Perak.
Beliau berkata, tahun lalu, 2.88 kes kemalangan dicatatkan bagi setiap 1,000 pekerja, membabitkan 14.2 juta jumlah pekerja.
Katanya, penyumbang terbesar kemalangan pekerjaan tahun lalu adalah sektor pengilangan dan perkhidmatan, masing-masing 11,943 kes dan 9,543 kes daripada keseluruhan 41,005 kes.
"Pada tahun lalu, kadar kemalangan pekerjaan dan kemalangan maut mencatatkan peningkatan sebanyak 0.07 dengan masing-masing adalah 2.88 bagi setiap 1,000 pekerja serta 2.73 bagi setiap 100,000 pekerja.
"Mengikut perangkaan Unit Perancang Ekonomi (UPEN), guna tenaga mahir dan separuh mahir pada tahun 2015 mencatatkan lebih 12 juta daripada 13.8 juta jumlah tenaga di negara ini.
"Jumlah ini diunjurkan kepada 14 juta jumlah guna tenaga menjelang tahun 2020. Ia bermakna, lebih 12 juta pekerja pada hari ini terdedah kepada risiko pekerjaan di pelbagai sektor sekiranya tiada pendedahan mengenai pencegahan awal kemalangan di tempat kerja," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan program OSH@TVETperingkat Johor 2017 di ILP Pasir Gudang di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah JKKP Johor, Kormain Mohd Noor.
Dalam pada itu, Mohtar berkata, pihaknya menerusi jawatankuasa di bawah OSHMP2020 giat menjalankan alternatif bagi mencari kaedah pencegahan kemalangan yang lebih berkesan, selain meneliti data terkumpul kemalangan pekerjaan bagi merangka tindakan sewajarnya.
Katanya, pihaknya berharap menerusi program OSH@TVET ini, ia dapat memberi kesedaran awal kepada pelatih, selain perkongsian pengalaman dan amalan di tempat kerja, seterusnya mencegah kemalangan ketika waktu bekerja.
Sumber : BH Online
Copyright JTM 2015. Disclaimer : Manpower Department (JTM) is not responsible for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website. Best Viewed is using Firefox , Microsoft Edge , IE 11 and Google Chrome with minimal resolution 1024 X 768 pixel.
Loading...