Akhbar : Malaysia Gazette Online | Tarikh : 2 November 2021
KUALA LUMPUR – Semua agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) diminta supaya mengkaji dan mengenal pasti cabaran masa hadapan seiring kesiapsiagaan mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Menterinya Datuk Seri M.Saravanan berkata, langkah itu bertujuan untuk melahirkan modal insan yang lebih kompetitif, kompeten serta bertaraf antarabangsa apabila negara menuju ke arah pembangunan pesat.Malah katanya, ia bukan sahaja memgenai isu-isu pengangguran sebaliknya, lebih kepada menyediakan modal insan dalam mendepani cabaran masa hadapan.“Ini kerana negara dan dunia sedang menghadapi IR4.0, mungkin ramai antara kita akan hidup dalam satu dunia yang kita tidak boleh bayangkan (ketika ini),” katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara TalentCorp Malaysia Berhad (TalentCorp) dan MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp), di sini hari ini.Bagi tujuan itu beliau berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bukan sahaja perlu mengkaji cabaran akan datang, tetapi turut bertanggungjawab untuk mengenal pasti jaringan keselamatan yang sewajarnya terhadap tenaga buruh tempatan.Katanya, Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan TalentCorp perlu mengenal pasti peluang-peluang untuk masa hadapan dan kemungkinan pekerjaan yang sedia ada sekarang ini akan hilang apabila negara mencapai IR4.0.Terdahulu, beliau bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyaksikan pemeteraian MoU antara TalentCorp dan MARACorp, iaitu jalinan kerjasama untuk memudah cara transisi graduan Majlis Amanah Rakyat (Mara) ke pasaran.Saravanan berkata, MoU itu selari dengan komitmen KSM untuk mengukuhkan pasaran tenaga kerja tempatan daripada gangguan semasa dan masa hadapan malah ia juga selaras dengan objektif strategik Rancangan Malaysia Ke-12 bagi mempersiap Keluarga Malaysia bangkit dalam pasca pandemik Covid-19.
– MalaysiaGazette.