Akhbar : Utusan Malaysia - Korporat | Tarikh : 12 Januari 2013
KOTA KINABALU 11 Jan. - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) akan mula melaksanakan lima projek mega bernilai RM45 bilion di Sabah pada tahun ini.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Sabah dan Labuan, Joseph Podtung berkata, projek tersebut merupakan sebahagian rancangan Petronas untuk mengoptimumkan nilai sumber minyak dan gas yang ditemui di luar pesisir Sabah.
"Projek-projek ini dilaksana dalam skala besar," katanya ketika berucap dalam majlis makan tengah hari dan meraikan media sempena tahun baru di sini semalam.
Yang turut hadir, Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai dan wakil-wakil media negeri ini.
Kelima-lima projek itu ialah Terminal Minyak dan Gas (SOGT) di Kimanis, Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) dan Projek Pembangunan Bukan Berkaitan Gas (NAG) Kinabalu serta Projek Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) dan Stesen Janakuasa Kimanis (KPP)
Kilang baja urea ammonia Sabah (Samur) di Sipitang dan pembinaan Terminal Gas di Lahad Datu.
Tambah Joseph, SOGT yang melibatkan pelaburan sebanyak RM3.8 billion merupakan projek daratan dan akan menerima, menyimpan, memproses dan terminal eksport minyak dan gas.
"Projek SOGT bagi kemudahan menerima gas dijangka siap pada suku ketiga tahun ini manakala kemudahan untuk menerima minyak dijangka siap dalam suku pertama 2014.
"Apabila siap sepenuhnya, SOGT berupaya mengisi 260,000 tong minyak (bpd) sehari dan gas asli sebanyak 1.250 juta kaki padu standard sehari (mmsfcd)," ujarnya.
Sementara itu, katanya, projek SSGP yang bernilai RM4.6 bilion dijangka siap menjelang suku keempat tahun ini dan pembinaan paip di Sabah sepanjang 512 kilometer (km), melibatkan jarak 92 km untuk saluran gas telah siap.
"Sejak 2009 sehingga 2011, Petronas telah mengagihkan sebanyak 45 kontrak bernilai RM1.07 bilion untuk syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam projek SOGT dan SSGP di Sabah," katanya.
Dalam pada itu, Joseph berkata, kampus tetap KTC bernilai RM30.5 juta akan siap pada suku kedua tahun ini dan pada masa ini hanya beroperasi dari premis sementara di Membakut Jaya dan mempunyai 48 pelatih.
Joseph berkata, ketika ini Petronas telah menjalinkan kerjasama dengan Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kolej Yayasan Sabah (KYS), GiatMara di Kimanis dan Institut Latihan Teknikal dan Perdagangan di Papar.
"Kesemua projek itu dijangka mewujudkan aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan serta menyediakan peluang untuk syarikat-syarikat di Sabah," katanya.
Sumber : Utusan Malaysia
Hakcipta Terpelihara JTM 2015 . Penafian : Jabatan Tenaga Manusia (JTM) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari portal ini. Paparan terbaik adalah dengan menggunakan Firefox , Microsoft Edge, IE 11 dan Google Chrome dengan resolusi paparan minima 1024 X 768 pixel.
Loading...