Akhbar : Utusan Malaysia - Selatan | Tarikh : 14 Mei 2013
REMBAU 13 Mei - Bidang robotik sememangnya bukanlah sesuatu yang asing buat masyarakat di negara negara ini, malah mempunyai pengikutnya tersendiri yang bergerak dalam skala kecil.
Biarpun bidang ini masih lagi di peringkat awal dan memerlukan penerokaan serta penyelidikan yang lebih meluas, namun beberapa usaha awal telah dijalankan bagi membuka luas bidang ini bagi membolehkan orang ramai turut sama dalam teknologi robotik.
Untuk itu, Cabaran Robot JTM 2013 yang dianjurkan oleh Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) merupakan salah satu cara terbaik bagi mendidik budaya inovatif dan kreatif dalam kalangan pelatih di pusat latihan berkenaan.
Ketua Pengarah JTM, Datuk Romli Hassan berkata, Cabaran Robot JTM 2013 yang dianjurkan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas itu merupakan salah satu platform bagi warga ILJTM mengasah bakat dan kreativiti dalam teknologi.
Malah katanya, penganjuran program seperti ini dilihat sebagai wadah bagi mencungkil kebolehan pelajar dalam usaha melahirkan sebahagian teknokrat yang memajukan industri di negara ini kelak.
"Malah jika diperhalusi, kerajaan juga menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) telah memperuntukkan sejumlah dana bagi tujuan meningkatkan daya saing modal insan dan menyokong pertumbuhan inovasi.
"Jadi saya merasakan pertandingan seperti ini amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memberikan pendedahan kepada warga ILJTM berkenaan teknologi robotik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas lanjut tentang pertandingan itu, Romli menjelaskan, ini merupakan satu persediaan bagi pasukan ILJTM untuk menyertai Pertandingan Robocon peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 22 hingga 27 Mei ini.
Jelas beliau, sebanyak 32 ILP, lapan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI) menyertai program ini yang pertandingan itu didokong oleh SIRIM Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi.
"Kita melihat penyertaan kali ini cukup menggalakkan dan percaya bahawa pertandingan seperti ini akan menarik minat semua pihak untuk menceburi bidang teknologi robotik ini.
"Pertandingan ini diadakan pertama kali di Tokyo, Jepun dan dianjurkan oleh Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) yang mempunyai keahlian lebih 100 badan penyiaran daripada 50 negara seluruh dunia.
"Peserta akan mereka cipta robot menggunakan teknologi dan kreativiti dalam satu pertandingan yang terbuka berdasarkan kepada tema yang dipilih dan kategori, antaranya Robocon dan RoboRumblez," katanya.
Romli berharap pertandingan yang diadakan setiap tahun ini bukan dilihat sebagai satu aspek untuk mencari kemenangan semata-mata, tetapi bertujuan menguji kebijaksanaan dan kreativiti dalam menyelesaikan misi dan visi mereka untuk mencapai sebarang objektif.
"Malah penganjuran pertandingan ini juga adalah salah satu strategi untuk melahirkan saintis dan jurutera mekanikal yang mampu bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan, malahan antarabangsa," katanya.
Hakcipta Terpelihara JTM 2015 . Penafian : Jabatan Tenaga Manusia (JTM) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari portal ini. Paparan terbaik adalah dengan menggunakan Firefox , Microsoft Edge, IE 11 dan Google Chrome dengan resolusi paparan minima 1024 X 768 pixel.
Loading...