KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Tenaga kerja mahir negara kini mencapai 28 peratus (3.4 juta) yang menghampiri sasaran 33 peratus dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) menjelang 2015, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Muttalib memberitahu Dewan Negara hari ini
Beliau berkata jumlah itu adalah daripada sebanyak 13.7 juta guna tenaga di negara ini bagi suku ketiga 2013, yang merupakan hasil kaji selidik terkini, Jabatan Perangkaan Malaysia.
Menurutnya, tenaga kerja mahir dikategorikan sebagai mereka yang memiliki kelayakan Diploma ke atas dan tergolong dalam pengkelasan pengurusan, profesional serta juruteknik.
"Kerajaan akan teruskan usaha meningkatkan kualiti latihan bagi menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi seperti mana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2014, Oktober lepas," katanya semasa menjawab soalan Senator Raja Ropiaah Raja Abdullah pada persidangan Dewan Negara Selasa.
Ismail berkata beberapa langkah akan dilaksanakan kerajaan bagi merealisasikan harapan perdana menteri melaksanakan 'single tier' bagi kursus Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 hingga 3 selama dua tahun di semua Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan menaik taraf bangunan serta peralatan di ILP seiring dengan teknologi terkini menggunakan peruntukan RM178 juta.
Selain itu, katanya, kerajaan juga menyediakan dana pinjaman latihan kemahiran berjumlah RM330 juta di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) kepada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti kursus latihan kemahiran.
"Kerajaan menyediakan 379 Institut Latihan Awam, 350 Institut Latihan Swasta dan 32 Institut Latihan di bawah kementerian bagi membolehkan belia lepasan sekolah menyertai bidang kemahiran dalam jurusan teknikal serta vokasional," katanya.
Jawatankuasa Penyelarasan Latihan yang dianggotai Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Pembanguan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut menyumbang dan mendedahkan pelatih kepada bidang teknologi.
"Ini dijalankan melalui pertandingan kemahiran yang diadakan dalam negara serta di peringkat Asean," katanya.
-- SUMBER BERNAMA