Akhbar : Utusan Malaysia (Dalam Negeri) | Tarikh : 24 Januari 2014
KUALA LUMPUR 23 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua kementerian dan agensi kerajaan tidak dibelenggu mentaliti silo, sebaliknya perlu bekerja menggunakan pendekatan lautan biru.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan semua kementerian dan agensi kerajaan dapat mengoptimumkan sepenuhnya infrastruktur serta program bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Jelasnya, perangkap mentaliti silo iaitu hanya selesa bekerja dalam lingkungan kementerian dan agensi kerajaan berkenaan sahaja menyebabkan kemudahan serta kepakaran yang ada tidak dapat digunakan secara optimum oleh semua pihak.
"Suka saya ingatkan jangan terperangkap dalam mentaliti silo, sebaliknya perlu berkerjasama secara rentas sempadan atau dipanggil strategi lautan biru agar semua kemudahan dan kepakaran dapat digunakan secara optimum.
"Ini kerana kita menyasarkan untuk melahirkan 50 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2020," katanya ketika berucap merasmikan majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Pada majlis tersebut, pengajar di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Melaka, Muhamad Hafiz Ibrahim dan pelatih Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Rembau muncul pemenang utama kategori Myskills dan Kemahiran Malaysia.
Dalam pada itu, Najib berkata, ketika ini terdapat sembilan kementerian yang terlibat secara langsung menyediakan latihan kemahiran melibatkan 434 buah Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dengan kapasiti 200,000 pelatih.
Tambahnya, selain ILKA, terdapat juga 753 Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) yang telah ditauliahkan Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi menawarkan program latihan kemahiran yang hampir serupa.
Bagaimanapun kata Perdana Menteri, ketika ini peratusan pekerja mahir di Malaysia masih lagi rendah iaitu hanya pada kadar 28 peratus dan jumlah itu jauh ketinggalan berbanding negara-negara berpendapatan tinggi yang lain.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan, sudah tiba masanya para pelatih yang dilatih institut latihan tempatan turut diberi kursus tambahan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan lagi nilai pasaran mereka.
"Tidak rugi untuk para pelatih dipanjangkan sedikit tempoh latihan antara tiga hingga enam bulan bagi mengikuti kursus tambahan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana akhirnya manfaat itu dinikmati oleh mereka," katanya.
Hakcipta Terpelihara JTM 2015 . Penafian : Jabatan Tenaga Manusia (JTM) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari portal ini. Paparan terbaik adalah dengan menggunakan Firefox , Microsoft Edge, IE 11 dan Google Chrome dengan resolusi paparan minima 1024 X 768 pixel.
Loading...