Akhbar : Harian Metro (Setempat) | Tarikh : 15 April 2014
Kuala Lumpur: Pembabitan dalam bidang kemahiran dan teknikal sering dikaitkan dengan lelaki, namun kemenangan kumpulan terdiri daripada enam pelajar perempuan dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu dalam Pertandingan Kreativiti dan Inovasi (CITEC) membuktikan sebaliknya.
Menerusi rekaan perangkap habuk diilhamkan kumpulan diketuai Azria Amil Hamja, 22, menarik minat juri untuk memilih kumpulan berkenaan sebagai penerima anugerah emas kategori Sivil dan Arkitek dalam pertandingan itu, semalam.
Azria berkata, idea menghasilkan produk itu tercetus ketika di kelas amalan 5S, pengajar menggerudi kayu menyebabkan habuk bertaburan di lantai sekali gus mendapat ilham untuk mereka cipta perangkap habuk.
“Pada mulanya kami menggunakan kertas untuk menghasilkan produk berkenaan, namun mendapati bahan itu tidak praktikal kerana mudah rosak atau koyak.
Kemudian, kami teruskan dengan membuat perubahan dalam pemilihan bahan utama iaitu menggantikan kertas dengan bahan plastik.
“Selain mudah digunakan untuk menggerudi serta pertukangan tangan, ia dapat mengelakkan kecederaan pada tangan dan jari ketika melakukan kerja penggerudian,” katanya pada Perasmian Penutup CITEC di ILP Kuala Lumpur di sini, semalam.
Majlis disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Muttalib.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Datuk Romli Hassan.
Pertandingan yang diadakan secara tahunan itu bagi memupuk daya kreatif, ciptaan dan inovasi dalam kalangan pensyarah dan pelajar Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menerusi empat bidang kemahiran iaitu Mekanikal, Elektrik/Elektronik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Sivil dan Arkitek.
Terdahulu dalam ucapannya, Ismail mahu inovasi terbaik dari pertandingan itu diusahakan sehingga sampai ke peringkat pasaran bagi membuktikan imej pusat latihan kemahiran sebagai peneraju kemahiran berdaya saing negara.
“Ia selaras hasrat kerajaan memastikan 50 peratus tenaga kerja di negara ini terdiri tenaga mahir menjelang 2020 sekali gus mencapai status negara maju.
“Justeru, bagi memastikan usaha ke arah ini mencapai matlamatnya, institut latihan kemahiran memainkan peranan besar untuk meningkatkan kebolehan dan inovasi di kalangan pelajar dan pensyarah,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Hakcipta Terpelihara JTM 2015 . Penafian : Jabatan Tenaga Manusia (JTM) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari portal ini. Paparan terbaik adalah dengan menggunakan Firefox , Microsoft Edge, IE 11 dan Google Chrome dengan resolusi paparan minima 1024 X 768 pixel.
Loading...